Facebook JPBD
Twitter
Youtube JPBD Perak

Pengenalan kepada Dasar Perbandaran Negara

Pengenalan
Bandar sebagai enjin pertumbuhan ekonomi mempunyai peranan yang amat penting dalam pencapaian wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Sepanjang dua dekad yang lalu tahap perbandaran telah menunjukkan peningkatan yang signifikan dan dijangka akan terus meningkat pada masa akan datang. Bagi menangani dan mengurus peningkatan ini dengan baik, wujud keperluan terhadap perancangan, pembangunan dan pengurusan perkhidmatan perbandaran yang lebih sistematik dan efisien supaya kualiti hidup yang lebih baik dapat dinikmati oleh komuniti bandar.

Potensi perkembangan bandar perlu dirancang dengan sebaik mungkin selaras dengan perubahan teknologi dan cabaran globalisasi supaya dapat memberi sumbangan yang maksimum kepada pertumuhan ekonomi negara. Namun demikian pembangunan bandar sedia ada menghadapi pelbagai masalah fizikal dan sosial ekoran daripada pembangunan yang tidak dilaksanakan dengan seimbang. Sehubungan itu satu rangka asas yang lebih menyeluruh dan bersepadu untuk memandu proses perbandaran di negara ini perlulah diwujudkan melalui penggubalan Dasar Perbandaran Negara.

Keperluan penyediaan DPN telah ditekankan di dalam RMK-8 dan RMK-9 di mana DPN perlu digubal untuk meningkatkan keberkesanan kualiti perkhidmatan bandar ke arah mewujudkan bandar yang selamat, bersistematik, moden dan menarik. Peruntukan di bawah Bahagian 11B, Seksyen 6B (3), Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) yang dipinda pada tahun 2001 (Akta A1129), juga menyatakan keperluan bagi Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa menimbangkan dasar perbandaran negara atau dasar lain yang serupa dalam menyediakan draf Rancangan Fizikal Negara (RFN).
Tujuan Dasar Perbandaran Negara
  • Dasar Perbandaran Negara merupakan dasar yang memandu dan menyelaras perancangan dan pembangunan perbandaran negara supaya lebih efisien dan sistematik khususnya bagi mengurus peningkatan jumlah penduduk bandar pada tahun 2020 dengan penekanan terhadap keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi dan fizikal di dalam bandar. Ia juga akan dijadikan asas untuk menggalakkan intergrasi dan perpaduan kaum yang akan tinggal dalam kawasan bandar.
  • Dasar Perbandaran Negara akan dijadikan teras utama dalam semua aktiviti perancangan dan pembangunan bandar di Semenanjung Malaysia termasuk penyediaan rancangan-rancangan pemajuan di peringkat negeri dan tempatan. Dasar ini akan menggariskan perkara-perkara teras, dasar-dasar, langkah-langkah dan pelan tindakan perlaksanaan bagi menyelaras dan mengurus perbandaran negara.